Hari-hari pertama selepas ketibaan banyak masa di habiskan dengan beribadah di Masjidil Haram sementara menanti hari wukuf...Pesan ustaz jangan terlalu ghairah membuat sebanyak-banyak umrah kerana bimbang kesihatan terjejas setiba hari wukuf. Waktu kami sampai sudah ramai jemaah di Makkah. Tidak seperti musim umrah..tidak terlalu ramai. Saya dan suami memutuskan untuk bersolat di tingkat paling atas masjid. Kebetulan pula hotel penginapan kami berdekatan dengan pintu saie. Hampir keseluruhan waktu kami di Makkatul Mukarramah kami bersolat di tingkat paling atas berbumbungkan langit. Lebih selesa di sana. Keadaan tidak terlalu sesak. Yang penting kami tidak perlu berasak-asak dan tidak perlu menyakiti dan disakiti. Waktu umrah biasanya tingkat paling atas ini tidak dibuka. Sebab itulah kami seronok bila dapat berada di sana.





